Salam semua, Blog ini adalah kesinambungan cerita Kerana Mama Aku Berjanji dari Bab 36 dan In Shaa Allah sehingga akhir. Ini adalah manuskrip yang dihantar dan ditolak, jadi Mai tak edit langsung. Kalau siapa-siapa yang pening tahulah kenapa, sebab Mai sendiri pening bila tulis KMAJ ini...haha

In Shaa Allah Mai akan menulis semula novel ini. So enjoy reading. Get ready mingyak kapak ke panadol ke...Confirm pening punya...hehe:B

Sunday, 31 August 2014

Kerana Mama Aku Berjanji 45

Bab 45

Komputer riba yang baru dimatikan dipandang kosong. Lepas rindu dia terhadap Fadi yang masih berada di Australia. Jarang sekali dia dapat berbual dengan abangnya itu sebab Fadi memberitahunya dia sedang sibuk mengendalikan pembukaan baru syarikat Litch Engineering. Siang dan malam Fadi berhempas pulas memastikan kerjanya sempurna. Ada juga dia menceritakan mengenai Issac kepada Fadi termasuk lamaran lelaki itu kepadanya. Fadi bangga Faryal mempunyai seorang teman lelaki yang boleh membahagiakannya selain abang-abangnya sendiri.
Apabila dicerita mengenai kedatangan Khaleed ke pejabat Nek Wan dan pemberian papanya itu yang entah ke mana hilangnya, Fadi kelihatan risau. Terngiang-ngiang kata-kata dari Fadi mengenai Khaleed sebentar tadi.
Kadang-kala kita tak boleh percayai orang yang pernah sekali melukai kita. Kalau orang itu pernah melukai kita sekali, ada kemungkinan besar dia akan melakukannya sekali lagi. Abang tak mahu Ayal jatuh dalam umpan papa.”

Apa maksud abang Adi tentang itu? Kenapa papa mahu mengumpannya? Memang dari dulu papa selalu menyakitinya tetapi apa yang sedang dirancangkan papa sehingga abang Adi memesan sedemikian?
Kalau ada apa-apa Ayal beritahu uncle Alex. He knows what to do. Janji dengan abang yang Ayal akan jaga diri baik-baik. Lagi satu mengenai Issac. Trust him. He’s all you’ve got.”
Ini yang lagi merunsingkan. Kenapa abang Adi suruh dia percayakan Issac? Itu pertama kali dia membuka cerita mengenai Issac dan dengan mudah abangnya membuat simpulan bahawa Issac boleh dipercayai. Apa maksud abang Adi dengan Issac satu-satunya yang dia ada?
Abang tahu Ayal bingung dengan semua ini. Tapi satu saja abang boleh cakap. Satu hari Ayal akan faham. Tak lama lagi.”
Faham apa? Apa yang mereka semua rahsiakan kepadanya? Apabila ditanya, abang Adi hanya senyum tidak mahu menjelaskan perkara itu. Mungkinkah ini semua berkaitan dengan papa? Argh!! Entahlah. Leher digaru tak mengerti semua ini. Komputer riba diletak sebelahnya.
Kaki dibengkokkan dan tangan naik memeluk lutut lantas pandangan dicampak ke luar tingkap. Fikiran mula melayang entah ke mana. Tiada bintang menerangi langit malam itu. Bulan juga tidak kelihatan. Awan bagaikan kosong. Kosong sepertinya.
Kepala menoleh ke arah pintu yang terkuak dari luar. Senyuman nipis bermain dibibir melihat Nek Wan menghampirinya. Selama dia berada disini semakin sayang dia kepada Nek Wan. Bukan dulu dia tidak sayang. Tetapi sejak tinggal satu bumbung dengan Nek Wan, dia mulai faham mengapa Lutfiyah meletaknya disitu.
Bukan untuk memisahnya dari Ahdia sebab setiap hari mereka akan bertekak. Bukan hanya kerana mahu Nek Wan mengajarinya selok-belok bisnis. Tetapi sebab Nek Wan perlukan seorang teman. Ketiadaan Tok Wan dan sekarang Lutfiyah membuat hati tua itu sunyi. Walaupun abang-abangnya ada menjenguk Nek Wan, ia berbeza dengan tinggal sebumbung dengan wanita berumur itu. Nek Wan perlukan keceriaan, kegembiraan, hiburan dan paling penting kasih sayang.
Faryal merenung Nek Wan yang melabuh duduk disebelahnya atas sofa panjang yang terletak disisi tingkap. Melihat wajah yang semakin berkedut. Melihat Nek Wan bertongkat ke sana dan ke mari. Hatinya tersentuh. Hatinya rasa sayu. Dia hanya mempunyai seorang nenek sekarang.
Kadang-kala Nek Wan bersikap dingin, dia tahu itu cara Nek Wan menunjuk kasih sayangnya kepada seseorang. Tidak dia nafi muka Nek Wan sentiasa serius dan tegas. Tetapi setiap kali melihat bibir Nek Wan itu menguntum senyuman yang manis dan melihat Nek Wan ketawa riang tidak ingat dunia, dia rasa beruntung. Beruntung diberi peluang mengenali Nek Wan. Beruntung diberi peluang membahagiakan neneknya itu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bersyukurnya dia.
Macam mana hubungan kamu dengan Issac?” Jari-jemari runcing Faryal mengetuk-ngetuk lembut permukaan komputer ribanya. Malu apabila Nek Wan bertanya mengenai lelaki yang sudah mendapat tempat dihatinya.
Baik Nek Wan. Emm…” Teragak-agak Faryal berbicara tidak tahu macam mana mahu memberitahu neneknya itu mengenai lamaran Issac.
Nek Wan meletak tongkat setianya disisi. Dipandang sekilas Faryal yang sedang menggaru kepala tambah lagi dengan muka yang kelihatan bingung. Bibir Nek Wan tersenyum nipis. Dia pernah melalui itu semua. Cinta pada usia yang muda. Cinta pandang pertama. Cinta yang kadang-kala membuat kita buta.
Dia melamar kamu?”
Terhenti tangan Faryal yang sibuk menggaru kepala. Tercengang mulut, dan mata pula membulat macam nak jatuh keluar. “Macam mana Nek Wan tahu?” Tidak percaya Nek Wan akan bertanya begitu.
Hish! Nek Wan pasang spy ke? Atau abang Adi yang beritahu? Takkanlah abang Adi nak beritahu, baru saja skype dengan abang tadi. Fikir Faryal.
Apa-apa saja yang cucu-cucu Nek Wan lalui semua ada dakam poket ni hah. Walaupun kamu semua cuba merahsiakannya dari Nek Wan, Nek Wan tetap tahu.” Dijeling Faryal yang tersengih-sengih menayang gigi.
Sebenarnya Tuan Kamil Arsyad yang memberitahunya mengenai lamaran Issac kepada Faryal. Dia akur memang dia tidak setuju tetapi melihat Faryal tersenyum setiap kali bersama lelaki itu dia redha. Melihat kebahagiaan cucunya adalah keinginannya.
Tuan Kamil Arsyad cuba meyakinkannya bahawa Issac benar-benar mencintai Faryal dan tidak mengguna Faryal demi rancangannya. Namun, dia tetap sangsi. Hati tua mana yang tidak berjaga-jaga bila satu-satu cucu perempuannya terlibat dalam permainan yang tidak diketahui. Apa yang ditakutnya adalah reaksi Faryal apabila rahsia terbongkar nanti.
Suruh dia jumpa Nek Wan terlebih dahulu. Kita orang melayu ada adat. Jangan nak main kahwin saja.” Ayal angguk laju sambil mengensot mendekati Nek Wan.
Tangannya naik melingkar bahu tua itu. “Sayang Nek Wan.” Tutur Faryal dengan senyuman yang menunjukan betapa bahagianya dia ketika itu. Sudah biasa bermanja dengan Nek Wan walaupun pada pertama kali Nek Wan agak kaku dan kekok tetapi hari demi hari Nek Wan membalas pelukan itu. Pipi tembam cucunya itu ditepuk lembut apabila Faryal melentok kepala dibahunya.
Bahagia, itulah yang dirasai Nek Wan sekarang. Tidak rasa keseorangan dirumah yang tersergam indah itu. Faryal sentiasa menceriakan hari-harinya. Kadang-kala kecoh satu rumah sehingga pening dia mahu melayan, tetapi dia tetap beta kerana kasih sayang yang semakin berlimpa terhadap cucu perempuannya itu.
Teringat kembali apa hajatnya mengunjungi bilik Faryal malam itu, perlahan membuat senyuman yang lebar menjadi nipis. Berat hati dia mahu melakukannya tetapi dia terpaksa. Dilirik dari ekor mata Faryal yang masih melentok kepala dibahunya. Senyuman masih lekang dibibir.
Kadang-kala kehidupan ini banyak sangat kejutan. Orang yang kita sangka menyayangi kita dengan sepenuh hati, sebenarnya orang yang membenci kita.”
Kepala yang sedap melentok dibahu Nek Wan diangkat Faryal. Anak mata merenung Nek Wan yang sedang memandangnya. Berkerut dahi Faryal apabila tangan yang memeluk bahu tua dicapai Nek Wan. Dalam sekelip mata riak muka Nek Wan yang tenang itu berubah serius. Mata mereka berlaga seketika sebelum Nek Wan mengeluarkan sesuatu dari kocek jubah hitam yang dipakainya.
Buntang mata Faryal melihat apa diletak Nek Wan ditapak tangannya. “Apabila hati sudah disakiti, sukar untuk kita mempercayai kata-kata yang bermain dibibir. Fikiran cuba untuk menerima tetapi hati menolak sekuatnya.” Pandangan Faryal bersilih ganti mengamati seutas jam tangan pemberian Khaleed ditapak tangannya dan Nek Wan yang hanya senyum tawar.
Jari-jemarinya mengusap jam tangan itu. Hadiah yang dilemparnya entah ke mana. Apabila gagal menemukannya dia membiarkan saja tidak mahu mengambil kisah.
Macam mana Nek Wan…”
Walau bagaimana jauh kamu mahu membuangnya. Ia tetap akan kembali kepada kamu, melainkan ia bukan takdir untuk kamu disatukan.” Kata-kata Nek Wan sebentar tadi membuat Faryal merenung tajam hadiah itu. Otak mencerna tutur bicara yang mempunyai makna yang tersirat.
Dia faham apa yang ingin disampaikan Nek Wan. Hubungan Faryal dan Khaleed bagaikan sebuah hubungan yang tidak jelas. Sebuah hubungan yang bertepuk sebelah tangan. Satu menagih kasih sayang sementara satu menepis rasa sayang itu.
Mata galak Faryal dipejam rapat. Imbasan demi imbasan bermain balik di otak fikirannya. Cara Khaleed melayannya sejak kecil lagi. Dingin yang dirasainya. Cara Khaleed melebihkan Ahdia daripada dia. Cemburu yang dirasainya. Cara Khaleed mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati. Sakit yang dirasainya. Imbasan terakhir bila Khaleed ingin berjumpa dengannya. Ingin meminta maaf. Keliru yang dirasainya. Hati semakin sebak memikirkan sesuatu perkara yang berulang kali bermain dikepalanya semenjak hari itu.
Berdebar dan sayu hati tua Nek Wan melihat keadaan Faryal didepannya kini. Badan sedikit membongkok seperti orang yang kalah. Tangan menggenggam erat jam tangan pemberian Khaleed. Kepala yang menunduk tetapi dapat dilihatnya. Mata yang ditutup rapat sekali-sekala bergerak. Lobang hidung membesar kecil seperti menahan rasa dan bibir mungil yang diketap rapat. Tetapi bila diamati betul-betul, bibir cucunya itu sedang menggeletar. Dia yakin Faryal sedang menahan tangisannya.
Papa tak sayang Ayal sebab Ayal bukan anak papakan?” Mencerlung Nek Wan dengan pertanyaan itu. Tangan naik memegang dadanya yang mula berombak. Nafas terhenti dengan tiba-tiba dan hatinya bagai direntap keluar dengan kasar. Tidak percaya dengan apa yang baru sampai ke telinga tuanya itu.
Faryal mengangkat kepalanya. Mata merah Faryal menikam tajam anak mata Nek Wan. “Papa benci Ayal sebab Ayal bukan darah daging diakan?” Kepala Nek Wan menggeleng pantas apabila dapat mencerna pertanyaan demi pertanyaan Faryal kepadanya.
Faryal berbohong kepadanya. Cucunya itu menutupi kebenaran bahawa dia mendengar perbualan antara dia dan Khaleed. Selama ini Faryal mengetahuinya tetapi merahsiakannya. Rasa bersalah dia mengingati apa yang dirasai Faryal ketika mendengar perbualan mereka. Tangannya naik mahu mengusap pipi yang sudah berlinangan airmata.
Kenapa Ayal bohong Nek Wan?” Perlahan saja suara Nek Wan tetapi dapat didengari jelas oleh Faryal. Melurut tangan Nek Wan dari pipi yang sudah lencun basah.
Kenapa Nek Wan rahsia semua ini daripada Ayal?” Mata dipejam Nek Wan seketika. Berdoa kepada-NYA supaya diberi kekuatan dengan apa yang melandanya ketika itu.
Melihat Nek Wan membisu Faryal menarik nafas yang dalam. Mata yang mengalir dikesat belakang tapak tangannya dengan kasar. Dia harus tahu kebenaran ini. Dia berhak.
Tangan Nek Wan diraihnya. Digenggam erat tangan tua itu. “Siapa papa Ayal yang sebenarnya?” Direnung tajam mata Nek Wan yang berkaca, meminta jawapan kepada setiap pertanyaannya. Muka Faryal diapit tangan Nek Wan. Kepala menggeleng menidakkan pertanyaan cucu perempuannya itu.
Kamu anak Fiyah dan Khaleed yang sah. Mama kamu tak pernah curang dengan papa kamu. Mama kamu tetap sayang papa kamu walaupun papa kamu tidak percayakannya.” Bergetar suara Nek Wan menegakkan kebenaran.
Dia tidak boleh merahsiakan perkara ini lagi daripada Faryal. Cucunya itu berhak tahu cerita yang memporak-peranda keluarga mereka. Rambut Faryal diselak ke belakang. Jari-jemari mengesat setiap titisan air yang mengalir tanpa henti.
Mama kamu difitnah. Sepertimana kamu difitnah semasa kamu berada di Paris dulu.” Jari-jemarinya dan milik Faryal bertaut cuba memberi kekuatan kepada cucunya itu. Melihat tangisan Faryal yang semakin reda, Nek Wan menyambung ceritanya.
Kamu tahukan mama dan papa kamu disatukan bukan atas nama cinta tetapi disatukan kerana Tok Wan dan datuk kamu adalah kawan baik. Nek Wan tidak pernah sesekali setuju dengan persatuan itu tetapi siapa Nek Wan. Tok Wan suami. Jadi sebagai isteri yang taat kepada suami, Nek Wan terpaksa akur.” Perlahan suara Nek Wan bercerita sambil mengingati masa dulu dimana dia membantah cakap suaminya itu.
Dia mahu mempertahankan satu-satu anak perempuannya. Walaupun Lutfiyah bukan anak kandungnya. Tetapi dialah yang membela Lutfiyah dari bayi lagi. Siang dan malam dia menjaga anak daranya itu memastikan Lutfiyah menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat. Tetapi apabila mendapat tahu Lutfiyah akan disatukan dengan Khaleed dia merasa semua kerja kerasnya hancur begitu saja. Semua angan-angan mengahwini Lutfiyah dengan orang yang baik runtuh begitu saja.
Faryal tekun mendengar apa yang ingin disampaikan Nek Wan. Sekali-sekala tangan naik mengesat hidungnya yang meleleh. Mata pula tidak lepas merenung Nek Wan.
Sebelum mama kamu mengandungkan kamu, dia difitnah entah oleh siapa. Sampai sekarang kami tak tahu siapa yang menghantar itu semua. Gambar-gambar intim mama kamu bersama kawan baik mama kamu bernama Danial diterima kami semua. Semasa itu mama kamu ke Paris untuk hal kerja. Nek Wan memang tak percaya mama kamu akan melakukan perkara terkutuk itu. Nek Wan yakin mama kamu dianiaya orang yang tidak suka dengan keluarga kita.” Dahi Nek Wan berkerut memikirkan perkara itu.
Dia menyesyaki seseorang tetapi kerana tiada bukti dia terpaksa menutup mulut. Memang dia terperanjat menerima sampul surat yang berisi gambar-gambar intim Lutfiyah bersama Danial semasa anaknya itu berada di Paris. Gambar Lutfiyah dan Danial makan bersama. Gambar mereka bersama diacara yang dihadiri Lutfiyah.
Apabila ditanya, Lutfiyah mengaku dia berjumpa dengan Danial tapi itupun dengan tidak sengaja. Bila berjumpa mereka buat keputusan untuk jumpa keesokan hari untuk makan malam. Selepas itu mereka berdua pulang ke hotel masing-masing. Lutfiyah ingat dia memasuki bilik hotelnya tetapi terus dia lelap tidak mengingati apa-apa. Esok pagi bila dia bangun, dia sudah berada atas katil masih memakai pakaian semalamnya. Itu saja yang dia ingat. Sehingglah gambar itu diterima mereka. Dia yakin ada seseorang sengaja mahu memporak-peranda keluarganya.
Tetapi papa kamu sebaliknya. Dia mengamuk apabila dapat tahu mengenai ini. Dia menuduh mama kamu curang dibelakangnya. Itu sebab apabila mama kamu disahkan mengandungkan kamu, papa kamu menuduh itu adalah hasil kecurangan mama kamu bersama Danial. Ujian DNA dilakukan, tapi papa kamu tetap begitu. Dia menafikan kebenaran. Kebenaran yang kamu adalah anak kandungnya dan bukan Danial.” Dilirk Faryal yang sepi dari tadi. Mata sembap Faryal dipandangnya.
Mana Danial sekarang?” Nek Wan menjungkit bahu tidak tahu.
Nek Wan pun tak tahu. Selepas kamu dilahirkan dan keputusan ujian DNA diumumkan, dia terus hilang. Hilang tanpa kesan.” Sehingga sekarang dia tidak tahu apa terjadi kepada Danial. Lutfiyah pun tidak sebut nama lelaki itu lagi. Apabila ditanya, Lutfiyah menjawab lebih baik begitu sebab tidak mahu Khaleed mencurigainya lagi.
Siapa yang hantar gambar itu?” Keluhan Nek Wan menjawap pertanyaan Faryal.
Tangan Faryal dicapainya kembali. Kepala menunduk memandang tangannya yang sedang menepuk lembut tangan Faryal.
Kami tak tahu sayang. Kalau disuruh polis siasat, pasti pihak media akan mengetahuinya. Maklumlah Tok Wan kamu orang yang terpengaruh. Perkara ini pasti jadi bual bicara ramai. Lagipun semasa itu Tok Wan kamu kena angin akhmar dan tak berdaya.”
Mengingati suaminya yang ketika itu sudah tidak berupaya melakukan semua pekerjaan sendiri. Entah mengapa Nek Wan rasa bernasib baik suaminya ketika itu tidak boleh bercakap sebab serangan angin akhmar yang menimpanya. Nek Wan pasti kalau suaminya itu masih sihat belaka, pasti Lutfiyah dipulau dari keluarga dan Danial akan dihabisinya.
Sunyi seketika antara mereka. Masing-masing melayan perasaan sendiri. “Nek Wan tahu tak siapa yang fitnah Ayal?” Nek Wan geleng. Bertubi-tubi pertanyaan Faryal.
Kening Faryal bertaut. Wajah yang sayu bertukar serius. “Ayal rasa Ahdia yang fitnah Ayal sebab dari dulu dia memang tak suka dengan Ayal.”
Dari pertama kali dia mengetahui Ahdia yang mereka-reka cerita mengenainya setelah pulang bercuti dari Paris, dan rekaan cerita itu telah mengakibatkan kematian Lutfiyah. Faryal yakin bahawa Ahdia ada kena mengena dengan gambar-gambar yang diterima keluarganya sebelum itu.
Tersenyum nipis Nek Wan dibuatnya. Dia tahu benar apa yang sedang bermain difikiran Faryal.
Tak baik fitnah orang.”
Tapi memang betul. Mama meninggal pun sebab Ahdia fitnah Ayal. Kalau Ahdia tak reka cerita dan tunjuk gambar itu pasti mama masih adakan? Mesti keluarga kita tak jadi macam beginikan?” Pipi Faryal diusap. Masih lembap dek airmata yang tadi tidak berhenti mengalir.
Kita tak boleh lawan takdir. Ini semua sudah tertulis. Kita boleh merancang tetapi DIA yang menentukannya. Ajal dan maut ditangan-NYA. Kita harus terima qada dan qadar.”
Jam tangan pemberian Khaleed diletak atas komputer ribanya sebelum melentok kepala diriba Nek Wan seperti dilakukannya bersama Lutfiyah. Rambutnya yang ikal itu diusap Nek Wan. “Ayal rindu dengan senyuman mama. Ayal rindu dengan tawa mama. Ayal rindu dengan bebelan mama. Ayal rindu suara mama. Ayal rindu masakan mama. Ayal rindu sangat dengan mama.” Faryal rasa sebak kembali memikirkan Lutfiyah. Masa-masa dia bersama Lutfiyah. Masa yang tidak dapat dia tulis lagi sebab mamanya sudah tiada.
Hidup hanya sementara. Mati itu pasti. Ayal kena sentiasa doakan mama. Doakan mama kamu ditempatkan disyurga. Doa seorang anak itu amat berharga sekali.” Kepala diangguk Faryal. Mata naik memandang Nek Wan yang menunduk tersenyum manis kepadanya.
Nek Wan maafkan Ayal sebab bohong tentang ini.”
Maafkan Nek Wan juga sebab rahsiakan perkara ini dari Ayal.” Dikucup ubun-ubun Faryal penuh kasih sayang.



3 comments:

  1. huh ...asal kite rasa ahdia tu yg anak luar nikah si khaleed tu ye...hmm sakit hati ni tau...hehe cite ni habis kt blog ke kak?btw good job kak ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. In Shaa Allah akak akan habiskan dekat blog:B thank u dik:B

      Delete
    2. yes! can't wait and most welcome kak ^^

      Delete