Salam semua, Blog ini adalah kesinambungan cerita Kerana Mama Aku Berjanji dari Bab 36 dan In Shaa Allah sehingga akhir. Ini adalah manuskrip yang dihantar dan ditolak, jadi Mai tak edit langsung. Kalau siapa-siapa yang pening tahulah kenapa, sebab Mai sendiri pening bila tulis KMAJ ini...haha

In Shaa Allah Mai akan menulis semula novel ini. So enjoy reading. Get ready mingyak kapak ke panadol ke...Confirm pening punya...hehe:B

Thursday, 2 October 2014

Kerana Mama Aku Berjanji 53

Bab 53

Lutfiyah!” Lutfiyah yang baru saja membolos keluar dari perut kereta berpaling ke belakang.
Tercengang dia bila melihat siapa yang sedang berdiri didepannya kini. “Eddy.” Nama itu melepasi bibirnya. Baru setapak Eddy mengambil mendekatinya, pengawal peribadinya sudah maju ke depan. Melindungi Lutfiyah dari lelaki yang tidak dikenali mereka.
Lutfiyah berpaling kepada Jia, pembantu peribadinya. “Jia kalau siapa-siapa termasuk suami saya tanya tentang saya, cakap saya ada temujanji diluar. Saya mungkin tak masuk hari ini.” Arahan itu dibalas Jia dengan anggukan kepala sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam bangunan. Dia sudah lali jika majikannya itu mahu sesuatu dirahsiakan dan inilah salah satunya.

Pengawal peribadi Lutfiyah berganjak ke tepi bila Lutfiyah memberi isyarat bahawa lelaki itu tidak berbahaya. Lutfiyah menapak menghampiri Eddy yang sedang berdiri menyeluk poket seluarnya. Tenang. Mata mereka berlaga sebelum Lutfiyah memerhati sekelilingnya memastikan tiada sesiapa yang melihat mereka bersama.
Sini tak selamat. Ikut aku.” Bisik Lutfiyah sebelum menuju kembali ke keretanya.
Disuruh Eddy mengikuti keretanya untuk ke apartment peribadinya. Sepanjang perjalanan Lutfiyah dapat menebak apa tujuan Eddy datang berjumpa dengannya. Sekali-sekala dari cermin kereta dia dapat melihat kereta lelaki itu mengekorinya.
Setibanya di apartment, lelaki itu sepertinya tidak kelam-kabut mahu menperjelaskan sebab kedatangannya. “Kenapa kau nak jumpa aku?” Lutfiyah merenung belakang Eddy yang sedang mengamati pandangan luas melalui pintu balkoni yang tertutup rapat.
Kedengaran gelakan halus dari Eddy. “Aku rasa kau tahu sebabnya.” Ujar Eddy dengan tenang.
Memang dia tahu sebab Eddy datang berjumpa dengannya. “Tentang Kat dan Khaleed?”
Betul apa yang aku dengar tentang kau. Otak kau memang cergas. Bijak. Tetapi kasihan kau dapat lelaki seperti Khaleed.” Eddy memusing menghadap Lutfiyah. Tangan yang tadi menyeluk poket seluar kini memeluk tubuhnya.
Lutfiyah yang tadi hanya berdiri mengorak beberapa langkah untuk berdiri disebelah Eddy. Pandangan dilempar ke luar. “Sepertimana aku kasihankan kau dapat isteri seperti Kat.”
Terangkat kening Eddy bila Lutfiyah berani mengenakannya pula. Dipusing badannya menghadap Lutfiyah yang masih asyik memandang ke luar. “Kita sama. Bezanya, Kat sudah berubah menjadi seorang isteri dan ibu yang penyayang, sementara Khaleed berubah menjadi seorang suami dan bapa yang berat sebelah.” Tutur Lutfiyah perlahan. Dari ekor matanya dia dapat melihat Eddy sedang mengamatinya.
Apa yang kau nak apa dari aku? Kau nak Khaleed? Aku rela serahkan dia kepada kau. Tapi bila difikirkan tentang anak-anak dekat rumah yang masih memerlukannya…” Eddy disebelah ditenung. Anak matanya menikam sepasang mata hazel milik lelaki itu.
Maaf aku tak rela.” Lutfiyah menoleh kembali melempar pemandangan ke luar pintu balkoni.
Memang kalau boleh mahu saja dia serahkan Khaleed bukan saja kepada Eddy tetapi kepada pihak polis juga. Biar lelaki yang dipanggil suami itu menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang dia telah lakukan. Tetapi setiap kali melihat anak-anaknya yang sedang membesar dan tidak faham dengan apa yang sedang berlaku dia memikir dua kali.
Kalau diserah Khaleed kepada polis, apa akan terjadi kepada anak-anaknya? Apa harus dia jawab jika mereka bertanya tentang keberadaan Khaleed? Anak-anak sekarang semakin pintar. Dengan adanya komputer semua boleh mereka ketahui. Dia takut anak-anaknya akan terjejas kerana apa yang telah Khaleed lakukan.
Eddy mengamati wanita yang sedang berdiri didepannya. Dari sisi dia dapat lihat riak wajah Lutfiyah bertukar dari satu ke satu. Dia yakin hati wanita itu sedang melalui pelbagai perasaan. Dia faham sebab dia juga pernah melaluinya.
Gelak tawa Eddy yang tiba-tiba itu membuat Lutfiyah menoleh padanya. Bertaut keningnya, hairan melihat lelaki itu ketawa sebegitu. “ Ini perbezaan antara aku dan kau. Kau menghadapi masalah ini dengan tenang. Kau membuat setiap keputusan dengan memikirkan orang sekeliling kau. Aku?” Dengan tawa yang bersisa jari telunjuknya menunding kepada dirinya sendiri.
Tenggelam dalam dunia aku sendiri. Aku tak dapat terima semua yang berlaku. Kebahagiaan yang aku kecapi hilang begitu saja. Sekelip mata. Aku naik gila bila separuh jiwa aku hilang. Sehingga aku mengabai satu-satunya peninggalan Kat kepada aku. Aku tak memikirkan mereka. Aku tak fikirkan Issac. Aku hanya fikirkan aku, aku dan aku.” Dari suara Eddy, Lutfiyah dapat merasa kekesalan dan kesakitan yang tersirat dalam sekeping hati lelaki itu. Melihat tawa yang tidak seceria tadi dia mula rasa simpati. Hatinya rasa sebak tiba-tiba melihat Eddy memicit matanya. Menangis, dia yakin.
Lapan tahun aku hancurkan diri aku. Baru aku sedar tiada gunanya menangisi orang yang sudah pergi. Issac masih perlukan aku. Dua tahun aku dekat pusat pemulihan. Memulih dan mencari balik diri aku yang sebenarnya. Mencari tujuan dan aku sudah jumpanya.”
Memikirkan kembali waktu-waktu terseksa dia di dalam pusat pemulihan. Ia benar-benar membuatnya insaf dan sedar akan kehilafannya. Issac kekuatannya. Masa depan anaknya pembakar semangatnya untuk berjuang. Dia harus kuat demi satu-satunya peninggalan Kat untuknya.
Tersentak Lutfiyah bila Eddy tiba-tiba mendengus kasar. Bila lelaki itu mengangkat kepala memandangnya, luput terus lelaki yang sedang merana itu. Didepannya kini lelaki yang pertama kali dia jumpa. Tenang.
Aku jumpa dengan kau sebab mahu kau tahu yang aku tak akan lepaskan Khaleed begitu saja.” Itulah matlamatnya yang kedua. Membuat perhitungan dengan Khaleed. Lelaki yang bersangkut paut dengan kematian Kat dan anaknya.
Senyuman sinis bermain dibibir Lutfiyah. “Kau tak tahu Khaleed seperti yang aku tahu. Dia bukan seperti yang kau sangkakan. Dia licik seperti ular. Aku rasa kau tahu apa maksud aku.”
Eddy angguk mengiakan kata-kata Lutfiyah. Dia tahu Khaleed bukan lawan yang mudah. Kalau lelaki itu boleh membuat rancangan yang teliti untuk Kat. Apatahlagi untuk perkara yang lain. “Aku dapat tahu Yus yang langgar Kat ada dibawa kawalan kau.” Sebelum Lutfiyah dapat menjawab, Eddy menyambung terlebih dahulu. Dia tahu apa yang akan dikatakan Lutfiyah.
Aku tak perlukan dia. Dia hanya kambing hitam Khaleed. Apa yang aku nak adalah ketuanya, Khaleed Jamaluddin. Tetapi sebelum itu aku nak kau ceritakan kepada aku apa yang kau tahu.” Eddy mendepa tangannya menyilakan Lutfiyah duduk disalah satu sofa yang berdekatan.
Lutfiyah memerhatikan Eddy buat seketika. Dia teragak-agak haruskah dia memberitahu semua yang dia ketahui. Dari pertemuan terakhir Khaleed dan Kat yang besar kemungkinan telah membuahkan hasil didalam perut Kat. Atau zuriat Kat yang dapat diselamatkan oleh doktor dan jururawat yang dibayar Khaleed. Haruskah?
Melihat kening Eddy yang dijungkit dan senyuman nipis yang terlakar, dia membuka langkah menuju ke arah sofa yang berdekatan. Punggung dilabuh. Mata dipejam dan nafas ditarik dalam. Sebaik saja mata dibuka, Eddy sudah berada didepannya. Menunggu. Menanti dia membuka cerita.
Maafkan Fiyah abang. Fiyah terpaksa.
Kau mungkin tak suka dengan apa yang akan aku ceritakan. Tetapi aku harap kau akan terimanya dengan fikiran dan hati yang terbuka.” Eddy angguk akur. Tapi dalam hati ia sebaliknya.
**
Sunyi. Sepi. Dua-dua melayan perasaan sendiri. Lutfiyah memerhati reaksi Eddy yang dari tadi hanya membatu tidak bersuara. Dahi sudah kerut seribu sepertinya bila dia dapat tahu mengenai ini semua. Dia tahu lelaki itu sedang cuba memahami dan mencerna setiap butir ceritanya. Entah mengapa setelah meluahkan segalanya kepada lelaki itu dia rasa bebannya sedikit kurang. Tetapi nampaknya bebannya yang hilang itu telah pergi ke Eddy.
“Maksud kau anak aku masih hidup?” Pertanyaan pertama Eddy disambut anggukkan Lutfiyah.
Eddy meraup mukanya. Masih tidak dapat menelan semua yang didengarinya. Sungguh tidak masuk akal. Mengapa Kat sanggup merahsiakan pertemuan terakhirnya bersama Khaleed? Memang masa itu dia tidak dapat dihubungi tetapi mengapa berjumpa dengan lelaki keparat itu sekali lagi dan menyerah dirinya sekali lagi? Mengapa?
“Bayi yang selamat itu. Anak aku?”
Tiada gelengan atau anggukkan dari Lutfiyah. “Aku tak tahu. Dimana dia sekarang pun aku tak tahu. Orang aku tengah mencarinya dari maklumat yang Yus beri. Semua yang berhubungan dengan perkara ini juga ditanya termasuk doktor dan jururawat.” Saja dia tidak menceritakan mengenai Ahdia. Keputusan DNA yang telah dia buat terhadap Ahdia juga tidak diceritakannya.
Eddy angguk faham. Kepala ditunduk sebentar sebelum mengangkat punggung dari sofa yang didudukinya. Dihulur tangannya kepada Lutfiyah. “Terima kasih sebab ceritakan dekat aku. Walaupun kau tahu risiko yang keluarga kau akan hadapi.”
Lutfiyah turut bangkit dan menyambut tangan lelaki itu. Buat seketika mereka hanya begitu. Masing-masing sepertinya cuba menyirap dan menghulur kekuatan kepada satu sama lain. “Kau nak buat apa sekarang?” Soal Lutfiyah sebaik saja tangan mereka terlerai.
“Mencari jawapan. Membuat persiapan. Lepas itu aku akan dapatkan Khaleed.” Balas Eddy lantas mengeluarkan kad nama dari dompetnya. Lutfiyah turut laku perkara yang sama.
“Telefon aku kalau kau ada apa-apa maklumat tentang anak aku.”
“Kau juga.” Dengan itu Eddy meminta diri. Sementara Lutfiyah mehenyak tubuh disofa. Lega. Resah. Kosong. Tidak tahu apa akan berlaku seterusnya.
**
Lapan Tahun Lalu
Telefon dilekap ke telinga sementara jari-jemari ligat menari diatas papan kekunci komputer. Sekali-sekala tangan naik membelek-belek fail yang berada diatas meja. Ketukan dipintu membuat Lutfiyah mengangkat kepalanya. “Puan ada tetamu.” Hairan dia bila Jia memaklumkan kedatangan tetamu yang tidak diketahuinya. Tangan naik menyuruh Jia tunggu sekejap. Perbualan dengan klien ditamatkan lantas berpaling kepada Jia kembali.
Siapa tetamu saya? Setahu saya tak ada temujanji dengan siapa-siapa.”
Ini tetamu tak perlukan temujanji.” Pintu dibuka luas oleh Jia sebelum Lutfiyah sempat menghalang. Terus ceria Lutfiyah melihat anak-anaknya, termasuk Widayah sedang berdiri didepan pintu kerjanya kini. “Selamat hari jadi. Selamat hari jadi kepada mama. Selamat hari jadi.” Tersenyum dia bila dapat mencerna bahawa hari itu adalah hari lahirnya. Terlalu banyak perkara yang difikirkannya sehingga terlupa tarikh lahir sendiri.
Dia bangkit dari duduknya dan menghampiri mereka. Sebiji kek dipegang Shariq. Semua masih berpakaian sekolah. Diusap kepala setiap satu anak-anaknya itu. Terharu dengan apa yang dibuat mereka untuknya. “Make a wish mama! Make a wish!” Faryal disebelah Shayaan menarik-narik tangannya membuat dia tertunduk sedikit.
Mata dipejam mendoa dipanjangkan umur dan berterima kasih dengan semua yang dia ada. Terutama sekali anak-anak iaitu permata hatinya. Sebaik saja lilin ditiup sorakkan dan tepukan gemuruh bergema diseluruh ruang pejabatnya itu.
Thank you. Mama betul-betul tak sangka anak-anak mama ni semua ingat hari jadi mama.” Dikucup satu-satu pipi anak-anaknya. Termasuk Widayah. Jia kembali dengan piring dan sudu untuk mereka.
Kalau tak ingat nanti mama merajuk. Kan abang Yankan?” Shayaan hanya senyum dengan gelagat Faryal. Lutfiyah menyuruh anak-anaknya duduk disofa ditengah biliknya sementara dia memotong kek yang dibawa mereka. Sedang mereka sibuk cerita tentang rancangan rahsia mereka untuknya itu, baru dia perasan sesuatu. Ada kurang seseorang.
Satu persatu piring kertas yang berisi kek dihulur kepada anak-anaknya. “Dia mana?” Anak-anaknya menjungkit bahu kecuali Shariq.
Dekat bilik papa. Tadi gaduh dengan Yan dekat kereta.” Tutur Shariq yang disambut muka tidak puas hati dari Shayaan. Lutfiyah menjungkit keningnya kepada Shayaan meminta penjelasan. Dia tahu anaknya tidak akan melakukan sesuatu itu tanpa sebab yang munasabah.
Dia rampas Wid punya candy floss yang Zan belikan tadi. Sampai habis dia makan. Tak tinggalkan sikit pun untuk Wid.” Shayaan jelaskan membela dirinya.
Macam piranhakan Ayal.” Sambung Widayah. Faryal angguk laju sambil menyuap kek ke dalam mulutnya. Senyuman terukir dibibir Lutfiyah bila gerangan piranha diberi oleh Widayah. Anak-anaknya semua sukar sekali diramal. Ada saja yang digaduhkan mereka. Dia yakin suaminya akan datang bila-bila masa saja untuk meminta penjelasan daripada Shayaan.
Jia yang masuk ke dalam ruang kerja menghulurnya sampul surat yang baru diterimanya. Surat itu dikoyaknya bila melihat siapa penghantarnya. Berminggu-minggu dia menanti surat keputusan DNA Ahdia. Dilirik anak-anaknya yang masih asyik melayan karenah sesama sendiri. Lipatan surat itu dibukanya. Mata membaca dengan tekun apa yang tertera. Hatinya yang berdegup kencang sesaat lalu bagaikan terhenti membaca keputusan yang tertulis itu. Dibacanya buat sekian kali masih tidak percaya dengan apa yang tertulis.
“Mama nak lagi.” Suara Faryal disebelahnya membuatnya melipat kembali surat itu dan menayang senyuman manis kepada Faryal yang menyua piring yang sudah kosong itu.
**
Duduk tidak senang. Berdiri pun tidak senang. Sejak mendapat panggilan dari Eddy, Lutifyah tidak senang duduk. Kaki dibawa ke balkoni bilik tidurnya. Matahari yang berdiri tegak diatas kepala tidak mematikan tawa riang anak-anaknya diatas pangkin. Tangannya melambai bila Faryal dan Widayah melambai tangan mereka kepadanya. Senyuman manis ditayang kepada mereka sebelum memasuki ke biliknya kembali.
Aku akan berjumpa dengan Khaleed dalam masa terdekat ini. Mungkin hari ini. Mungkin esok atau lusa aku tak pasti. Apa yang aku tahu aku akan bersemuka dengan dia.”
Telefon bimbit atas meja soleknya dicapai. Masih tiada panggilan dari Syafiq dan orang-orangnya yang lain. Hatinya benar-benar tidak enak setelah mendapat panggilan dari Eddy. Khaleed pula sudah menghilang selepas sarapan pagi. Tidak sempat bertanya ke mana suaminya itu mahu pergi, kerana sibuk melayan anak-anak pada hari hujung minggu itu.
“Esok satu bungkusan akan dihantar ke pejabat kau. Orang aku akan menghantarnya kepada kau. Dalam itu ada sesuatu yang untuk kau. Mungkin satu hari ia dapat membantu kau dalam semua ini.”
Apa yang akan diterimanya pun dia tidak tahu. Bila ditanya Eddy hanya menyuruhnya menunggu esok hari. Jari-jemari menari dipermukaan telefon bimbitnya menghantar mesej kepada Syafiq.
“Aku tak tahu apa akan terjadi. Mungkin ini perbualan kita yang terakhir mungkin tidak. Aku hanya mahu kau tahu yang aku amat berterima kasih kepada kau sebab memberi maklumat yang kau tahu kepada aku, walaupun ia bersangkut paut dengan Khaleed suami kau sendiri.”
Orang mungkin akan beritahu bahawa dia orang yang paling bodoh mengongsi apa yang dia tahu dengan Eddy. Tetapi entah mengapa dia percaya dan rasa simpati dengan lelaki itu. Dia mungkin tidak berani melakukannya kerana memikirkan anak-anaknya. Tetapi dia tahu Eddy bisa melakukannya kerana dia tiada apa-apa pertalian bersama Khaleed.
Pantas telefon bimbitnya dilekap ke telinga bila ia berbunyi dan tertera nama Syafiq. “Hello. Macam mana? Kamu jumpa dia?” Lutfiyah bertanya dengan suara yang cemas.
“Dia ada di rumah Tuan Kamil Arsyad, bersama anaknya. Dia bawa beg besar bersamanya. Mungkin dia akan tinggal berapa malam disini. Saya akan pantau dia disini.”
“Khaleed?” Soal Lutfiyah lagi.
Club house. Gopal sedang memerhatikannya disana. Kalau ada perkembangan baru saya akan beritahu Puan secepat mungkin.” Lutfiyah angguk walaupun tidak dapat dilihat Syafiq. Talian dimatikan. Punggung jatuh dibirai katil. Nafas ditarik dalam dan dihembuskan berkali-kali untuk melegakan hatinya yang gelisah itu.
Ya Allah! Tolonglah lindungi semua yang terlibat Ya Allah.





2 comments:

  1. huh..kesiannye hidup mama ayal ngan papa issac ni...ish kite satu part bile ayal jadi gangster sikit..jadi kasar dgn papa and ahdia...tak boleh ke? hehe btw ahdia tu adik issac kn? hmm good job kak ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ayal jadi gangster? Ada kot...tkkan nk takut selamanykan? :B

      Delete